Friday 1 June 2012

RESDUNG TIADA KAITAN DENGAN 'ULAT'





Dalam satu bilik kecil, seorang pengamal perubatan tradisional mengasapkan wajah seorang pesakit kononnya bagi mengubati pesakit resdung.
"Sekejap lagi kamu akan lihat ulat kecil keluar daripada muka kamu dan itulah ulat yang menyebabkan kamu menghadapi resdung," demikian kata bomoh berkenaan bagi meyakinkan pesakit.

Bagaimanapun, beberapa ketika kemudian, kenyataan bomoh berkenaan benar-benar terjadi. Dari muka pesakit, kelihatan timbul ulat kecil menyerupai hampas kelapa yang dikatakan punca penyakit resdung.
Resdung mungkin menjadi antara penyakit yang popular di negara ini lantaran kaedah rawatannya tidak saja tertumpu di hospital atau pusat perubatan tetapi turut memenuhi kaki lima dan pasar.

Ramai mendakwa mampu mengubati penyakit itu malah menggunakan pelbagai kaedah rawatan yang menghasilkan pelbagai `punca' penyakit itu daripada lendir sehinggalah ulat seumpama hampas kelapa yang keluar daripada pipi pesakit. Tidak ketinggalan juga laporan mengatakan bahawa kaedah digunakan hanyalah penipuan.

Mendengar penerangan Perunding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Perubatan Darul Ehsan (Demc), Dr Abd Razak Rahman Hamzah, mungkin menyebabkan pesakit lebih berhati-hati dan memikirkan kembali kesahihan kaedah rawatan yang digunakan. Tiada kaitan antara ulat yang terhasil di bahagian muka dengan penyakit resdung atau disebut `sinusitis' dalam istilah perubatan malah penyakit itu juga tidak memberi kesan terhadap kulit seperti berlakunya jerawat.